Posts

AKTA HASUTAN BUKAN UNDANG-UNDANG BIASA YANG BOLEH DIBUANG BEGITU SAHAJA

KENYATAAN MEDIA

Rujukan Kami : PUTRA/NP/2019
Rujukan tuan :
Tarikh : 11 hb Julai 2019

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

1. PUTRA merujuk kepada kenyataan Perdana Menteri yang di laporkan Malaysiakini bahawa “Akta Hasutan akan di mansuh, di ganti secepat mungkin”.

2. PUTRA mengambil pendirian konsisten majoriti rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan keharmonian bahawa Akta Hasutan 1948 masih relevan untuk mengawal hak kebebasan bersuara di Malaysia.

3. Sebenarnya, cadangan minority rakyat untuk memansuhkan Akta Hasutan ini telah kedengaran sejak tahun 2012 lagi namun Kerajaan terdahulu telah akur dengan desakan majoriti rakyat untuk hanya meminda Akta Hasutan 1948 berkenaan pada tahun 2015, dan bukannya memansuhkannya bagi memperkenalkan Akta Harmoni bagi menggantikannya pada tahun 2015 tersebut.

4. Kali ini, selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam mengekalkan sabitan bersalah terhadap Wan Ji Wan Husin dan menambah hukuman penjara selama 1 tahun, desakan untuk memansuhkan Akta Hasutan kembali di canang. Bezanya, dahulu ianya di bangkitkan oleh pemimpin pembangkang. Kali ini, desakan itu datang daripada individu yang sama, Cuma kapasiti mereka kini telah menjadi sebahagian daripada Kerajaan.

5. PUTRA mengakui Akta Hasutan telah di gubal sebelum Merdeka namun tidak menjadikan ianya lapuk dek zaman. Sebagai contoh, Kanun Keseksaan (Penal Code) yang menjadi statut utama dalam pendakwaan kes-kes jenayah telah di gubal pada tahun 1936 lagi iaitu 12 tahun sebelum Akta Hasutan di gubal. Jika sesiapa mempersoalkan isu lapuk Akta Hasutan semata-mata kerana tahun 1948, mengapa mereka tidak menghujahkan isu lapuknya Kanun Keseksaan (Penal Code).

6. Relevan atau tidak sesuatu Akta itu dengan keadaan semasa adalah bergantung kepada proses pindaan undang-undang itu sendiri yang perlu di selaraskan sesuai dengan tuntutan semasa dan Akta Hasutan telah di pinda sebanyak 3 kali sejak merdeka, terkini tahun 2015 untuk di sesuaikan dengan tuntutan zaman.

7. Dalam keghairahan pemimpin kerajaan sekarang yang mahu memansuhkan Akta Hasutan, PUTRA ingin mengingatkan semua pihak bahawa Akta Hasutan bukan undang-undang biasa yang boleh di buang begitu sahaja dengan majoriti mudah di parlimen. Akta Hasutan 1948 mempunyai kedudukah khas di dalam Perlembagaan Persekutuan.

8. PUTRA mengimbau fasa pindaan Akta Hasutan tahun 1971, kesan tragedy peristiwa 13 Mei 1969, telah menyebabkan Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk memasukkan Perkara 10(4) yang memperuntukkan, “…Parlimen boleh meluluskan undang-undang melarang dipersoalkan apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogatif ditetapkan atau dilindungi oleh peruntukan Bahagian III (Kewarganegaraan), Perkara 152 (Bahasa Melayu), 153 (perizaban kuota untuk Melayu dan Anak Negeri) atau 181 (kedaulatan raja-raja).

9. Dan atas asas pindaan Perlembagaan di atas, Akta Hasutan 1948 di pinda dengan menambah Seksyen 3(1)(f) kepada Akta Hasutan memperuntukkan “sesuatu kecenderungan menghasut” ialah kecenderungan-(f) bagi mempersoalkan apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogatif yang ditetapkan atau dilindungi oleh peruntukan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan atau Perkara 152, 153 atau 181 Perlembagaan Persekutuan.”

10. Ini menunjukkan bahawa Seksyen 3(1)(f) Akta Hasutan 1948 adalah di gubal dan di luluskan Parlimen di bawah Perkara 10(4) Perlembagaan Persekutuan.

11. Selanjutnya, PUTRA merujuk kepada Perkara 159(5) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan “sesuatu undang-undang yang membuat sesuatu pindaan kepada Fasal (4) Perkara 10, apa-apa undang-undang yang diluluskan di bawahnya, peruntukan Bahagian III, Perkara 38, 63(4), 70, 71(1), 72(4), 152, atau 153 atau kepada fasal ini tidaklah boleh diluluskan tanpa perkenan Majlis Raja-Raja.” Perkara 159(6) Perlembagaan Persekutuan pula menyatakan dalam perkara ini “pindaan termasuklah tambahan dan pemansuhan”.

12. Jadi ini secara jelas bermaksud, sekiranya Kerajaan ingin memansuhkan Akta Hasutan 1948 semata-mata kerana bersimpati dengan hukuman yang di kenakan terhadap seorang Aktivis Pakatan Harapan (Wan Ji Wan Husin), maka sebelum Proses Bacaan Kali Pertama (untuk tujuan pemansuhan) di Parlimen, Kerajaan hendaklah terlebih dahulu mendapatkan Perkenan Majlis Raja-Raja Melayu mengikut Perkara 159(5) di atas.

13. PUTRA mengambil maklum bahawa Tun Dr Mahathir, ketika beliau menjadi Perdana Menteri ke 4 dahulu telah melakukan 2 pindaan perlembagaan pada tahun 1993 dan 1994 (berkaitan isu imuniti Raja-Raja dan Kuasa bertindak mengikut nasihat) tanpa mengikut prosedur iaitu hendaklah terlebih dahulu mendapat perkenan Majlis Raja-Raja.

14. Walaupun perkenan Majlis Raja-Raja hanya di perolehi kemudiannya (selepas di luluskan Dewan Rakyat) 2 orang tokoh akademik seperti Abdul Aziz Bari dan Shad S.Faruqi telah mengkritik keras proses pindaan perlembagaan tahun 1993 dan 1994 berkenaan sebagai tidak berpelembagaan.

15. Namun, di sebabkan Dr Mahathir adalah Dr Mahathir, beliau ketika itu yang mempunyai kekuatan majoriti melebihi 2/3 dan menguasai media untuk tidak mensensasikan pelanggaran prosedur ini, telah tidak mempedulikan nasihat Peguam Negara ketika itu dan mengabaikan bantahan Ketua Pembangkang (Lim Kit Siang) untuk meneruskan juga proses pindaan walaupun tanpa perkenan Majlis Raja-Raja.

16. PUTRA mengingatkan Tun Dr Mahathir bahawa keadaan tahun 2019 ini berbeza. Dalam keadaan beliau tidak mempunyai majoriti 2/3 dan dalam keadaan media sosial lebih berpengaruh daripada media arus perdana, beliau harus mempertimbangkan semula samada untuk sekali lagi melanggar peruntukan perlembagaan untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948 tanpa terlebih dahulu mendapat perkenan Majlis Raja-Raja Melayu.

17. Jika beliau meneruskan hasrat tersebut, pastinya ini mengundang terjadinya Krisis Perlembagaan yang seharusnya keadaan ini kebiasannya cuba di elakkan oleh mana-mana kerajaan yang sedang melemah akibat kegagalan mereka menunaikan janji manifesto pilihanraya terhadap rakyat.

Sekian terima kasih.

Mohd Khairul Azam Bin Abdul Aziz
Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA)
Pengerusi Biro Undang-undang & Pengaduan Awam PUTRA

 

WAN JI PATUT DIHUKUM GANTUNG SAMPAI MATI

KENYATAAN MEDIA PARTI BUMIPUTERA PERKASA MALAYSIA (PUTRA) BERKAITAN SABITAN DAN HUKUMAN PENJARA 1 TAHUN KE ATAS WAN JI WAN HUSSIN DI BAWAH AKTA HASUTAN 1948.

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

1. PUTRA menyambut baik ketegasan YA Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam yang menolak Rayuan Wan Ji Wan Hussin atas kesalahan menghasut untuk menimbulkan kebencian terhadap DYMM Sultan Selangor serta menghukum beliau dengan pemenjaraan selama 1 tahun.

2. Sebaik sahaja keputusan di umumkan, ramai pemimpin Pakatan Harapan seperti YB Dato Seri Anwar Ibrahim dan Syahredzan Johan mengkritik keputusan tersebut sebagai terlalu keras dan me lampau.

3. Asas kritikan Pakatan Harapan terhadap keputusan tersebut di lihat tidak berlandaskan fakta, melainkan mereka memainkan sentimen politik kerana Wan Ji adalah Aktivis agama dalam PH dan juga atas naratif janji PH untuk memansuhkan Akta Hasutan.

4. Sebelum Kita terpengaruh dengan hujahan politik pemimpin PH berkaitan isu ini, PUTRA menjemput semua untuk menelusuri sejarah kenyataan-kenyataan keras Wan Ji sejak tahun 2010 yang secara terang-terangan dalam ceramah-ceramah dan rangkaian media sosial beliau menghasut rakyat membenci Raja dan Sultan sehingga turut membuat satu perancangan untuk menghapuskan Institusi Raja-Raja Melayu pada tahun 2030 nanti dan video perancangan beliau itu boleh di Tonton di sini :-

5. Di dalam kertas pertuduhan, beliau didakwa telah mengeluarkan kata-kata berikut terhadap Sultan Selangor khasnya dan terhadap Sultan-Sultan lain umumnya melalui laman Facebook beliau pada jam lebih kurang 10.00 pagi 8 November 2012:

(1) “Jenis syaitan tak baca hadis Nabi…”
(2) “Bahana bodoh agama tapi nak jadi ketua agama…”
(3) “Perasan bagus, tapi bodoh agama…”
(4) “Buang je Sultan-Sultan ni…”
(5) “Perabis duit rakyat…”
(6) “Si syaitan ni buat projek pembodohan…”
(7) “Bila orang bodoh, dia akan berkuasa…”
(8) “Firaun moden…”
(9) “Nak kaya dalam keadaan bodoh adalah jadi Sultan…”
(10) “Kalau di Malaysia, yang buat kerja (pembodohan) ni adalah UMNO dan Sultan…”

6. PUTRA percaya sebelum Hakim Mahkamah Tinggi mengenakan hukuman Penjara 1 tahun ke atas beliau, Hakim telah mempertimbangkan faktor mens rea (niat) beliau ketika me muatnaik kenyataan-kenyataan menghasut berkenaan yang konsisten dengan perancangan beliau untuk menghapuskan Institusi Raja-Raja Melayu pada tahun 2030 nanti.

7. Dengan mengambil kira keseriusan kesalahan yang di lakukannya, PUTRA berpandangan hukuman Penjara 1 tahun adalah amat ringan dan sepatutnya beliau di hukum maksimum Penjara 3 tahun dan denda maksimum RM5000. 00 seperti hukuman yang terkandung mengikut Seksyen 4 Akta Hasutan 1948.

8. PUTRA mendesak Pejabat Peguam Negara membuat Rayuan ke Mahkamah Rayuan bagi mengkaji semula hukuman Penjara 1 tahun berkenaan sebagai terlalu ringan untuk di naikkan kepada maksimum 3 tahun dan denda maksimum RM5000 bagi memberikan pengajaran bukan sahaja kepada Wan Ji tetapi kepada sesiapa sahaja yang melakukan jenayah yang berkecenderungan menghasut seperti di dalam Seksyen 3 Akta Hasutan 1948.

9. Hasutan untuk membenci sehingga merancang untuk menghapuskan institusi Raja-Raja Melayu adalah satu kesalahan serius yang jika tidak di bendung dan di sekat, akan mencetuskan huru hara terhadap keselamatan Negara kerana Institusi Raja-Raja Melayu adalah tonggak utama pembentukan Negara Demokrasi Malaysia sejak 1957.

10. PUTRA percaya sebarang anasir yang cuba meruntuhkan tiang seri Negara ini harus di hukum mati sepertimana kesalahan memerangi Yang Di Pertuan Agong yang di peruntukan di bawah seksyen 121 Kanun Keseksaan.

11. PUTRA juga percaya sebarang cubaan pemimpin PH untuk mengkritik hukuman ini adalah satu penderhakaan terhadap Raja-Raja Melayu kerana keberanian mereka menunjukkan sokongan terhadap Penjenayah yang sedang menghasut rakyat menumbangkan institusi beraja di Malaysia tidak menjadikan mereka berbeza dengan Penjenayah tersebut.

12. PUTRA bertegas akan menjadi benteng mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu dari sebarang cubaan Penjenayah seperti Wan Ji yang cuba untuk meruntuhkannya.

DAULAT TUANKU.
PUTRA PERKASA NEGARA

Mohd Khairul Azam Bin Abdul Aziz
Naib Presiden PUTRA merangkap Pengerusi Perhubungan Biro Undang-undang dan Pengaduan Awam PUTRA
10 Julai 2019