Posts

Kenyataan Media berkaitan keputusan kes Saman vernakular di Mahkamah Persekutuan.

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

1. YAA Tan Sri Dato Seri Azahar Bin Mohammad pagi tadi telah membacakan teks alasan penghakiman beliau selama 43 minit dan 26 saat di Mahkamah Persekutuan Putrajaya.

2. Beliau telah menolak untuk memberi Kebenaran kepada Pemohon untuk memulakan tindakan ini di Mahkamah Persekutuan di bawah Perkara 4 (4) Perlembagaan Persekutuan kerana tindakan ini secara keseluruhannya adalah kelihatan berkaitan persoalan samada seksyen 17 dan seksyen 28 Akta Pendidikan 1996 adalah bertentangan (ultravires) dengan Perkara 152 (1)(a) Perlembagaan Persekutuan.

3. Sekiranya itu adalah niat Pemohon maka tindakan ini hendaklah di mulakan di Mahkamah Tinggi mengikut Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan iaitu sekiranya sesuatu undang2 itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan maka ianya adalah terbatal setakat yang berlawanan dengan Perlembagaan.

4. Cabaran mengikut Perkara 4(4) Perlembagaan ini adalah cabaran yang di bolehkan apabila Parlimen tiada kuasa membuat undang2 tersebut, jika Parlimen atau Dewan Undangan Negeri masih membuat undang2 tersebut maka barulah Mahkamah Persekutuan boleh menggunakan bidang kuasa asalnya di bawah Perkara 4 (4).

5. Jika di perhatikan dalam item 13 Jadual ke Sembilan, ternyata Pendidikan dan segala hal berkaitan dengannya (termasuk menubuhkan Sekolah) adalah terkandung sebagai kuasa Parlimen untuk menggubalnya.

6. Jadi Pemohon tidak boleh di berikan kebenaran di bawah Perkara 4 (4) Perlembagaan untuk meneruskan cabaran ini di peringkat merit kerana forum yang sesuai untuk di bawa tindakan ini adalah di Mahkamah Tinggi Malaya, di bawah Perkara 4 (1) dan bukannya terus ke Mahkamah Persekutuan.

7. Maka atas alasan tersebut, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan kebenaran (Leave) kepada Pemohon tanpa Kos.

8. Saya menerima baik keputusan YAA Hakim Mahkamah Persekutuan ini dan saya ucapkan jutaan terima kasih kepada Peguam2 saya, Dato Shaharudin Ali, Aidil Khalid dan Hj Rahim Sinwan dan 5 lagi Peguam Firma saya kerana bertungkus lumus mengkaji, berbincang dan berhujah untuk penyediaan kes ini di Mahkamah Persekutuan.

9. Saya juga ucapkan terima kasih kepada Peguam2 Pemerhati yang hadir bersama ke Mahkamah tadi di ketuai Hanif Khatri, Dato Zainul Rijal, Dato Seri Zulkifli Nordin, Dato Reza Hassan, Zubir Embong, Harmy Yusoff dan ramai lagi yang terlibat sebagai Peguam Pemerhati bagi pihak GPMS, ISMA, MAPPIM, Prof Emeritus Dato Hashim Yaacob dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA).

10. Terima kasih juga kepada semua yang hadir ke Mahkamah Persekutuan tadi daripada wakil2 NGO dan PUTRA.

11. Juga penghargaan Khas Kepada kesemua yang telah menyumbang Wang ringgit ke Tabung Perjuangan ini dan teruskan menyumbang kerana Perjuangan ini masih belum berakhir.

12. Saya di nasihatkan Peguam2 saya untuk menunggu Alasan Penghakiman rasmi daripada Mahkamah Persekutuan sebelum membuat apa2 tindakan lanjut.

13. Atas Nasihat Peguam2 saya, saya meminta semua pihak untuk bersabar kerana cabaran ini belum berakhir dan akan di mulakan kembali di Mahkamah Tinggi Malaya dengan tatacara dan Kaedah yang berbeza.

14. Tiada pihak yang menang atau kalah lagi dengan keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini kerana isu substaintif dan merit (samada Sekolah jenis kebangsaan ini sah atau tidak di sisi perlembagaan) belum di putuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

15. Yang di putuskan hari ini hanyalah Mahkamah Persekutuan tidak memberikan kebenaran kepada Pemohon untuk memulakan tindakan ini terus ke Mahkamah Persekutuan mengikut Perkara 4 (4) Perlembagaan Persekutuan.

16. Tanpa niat menghina Mahkamah, saya merezabkan ketepatan kenyataan media ini yang hanya di buat berdasarkan pemahaman dan pendengaran saya terhadap pengumuman keputusan Mahkamah tadi dan saya bertanggungjawab untuk memperbetulkan mana2 perenggan sekiranya Terdapat kekhilafan pada nya selepas sahaja saya menerima Alasan Penghakiman Rasmi daripada Mahkamah.

Sekian dan terima kasih.

Mohd Khairul Azam Bin Abdul Aziz
0129770412
11 November 2019
Bandar Baru Sentul KL
2.02 pm