Posts

Siasatan bekas COO Lembaga Tabung Haji berat sebelah

KUALA LUMPUR: Laporan berita penahanan mantan Ketua Pegawai Operasi (COO) Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Adi Azuan, bagi membantu siasatan kes rasuah berkaitan kerja pengubahsuaian rumah di kediamannya dianggap berat sebelah.

Peguambela dan Peguamcara, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, berkata anak guamnya sudah menyerahkan semua bukti komunikasi dengan syarikat kontraktor berkenaan bahawa kos bagi kerja pengubahsuaian dapur rumah beliau ditanggung sendiri.

“Pihak kontraktor juga sudah memberikan sebut harga dan butiran perbincangan semua rekaan dalam dokumen dan tidak dibuat atas kapasiti jawatan anak guam kami.

“Anak guam kami juga sudah menyerahkan bukti empat keping cek Maybank kepada pihak kontraktor sebagai bayaran perkhidmatannya memasang kabinet dapur,” katanya dalam satu kenyataan kepada NSTP hari ini.

Menurut Khairul Azam, kesemua cek adalah daripada akaun peribadi anak guamnya dan dibayar secara berperingkat mengikut proses kerja.

“Bagaimanapun, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diarahkan ‘membutakan’ mata terhadap semua bukti berkenaan dan siasatan dilakukan bagi mengaitkan kononnya anak guam kami mendapat khidmat percuma dari kontraktor TH atas kapasiti jawatannya.

“Semua saksi kejadian diugut untuk memberi keterangan palsu terhadap anak guam kami.

Kami bersedia dengan semua dokumen untuk membuktikan anak guam tidak bersalah. Kamu boleh membuli kami ketika kamu berkuasa hari ini. Esok belum tahu kamu akan kekal berkuasa,” katanya.

 

Pautan : https://www.bharian.com.my/berita/kes/2018/12/511059/siasatan-bekas-coo-lembaga-tabung-haji-berat-sebelah